GRAFITINYA berbentuk tulisan kaligrafi Cina dibuat menggunakan berus yang dicelut dakwat hitam pekat. Ia menggambarkan sebuah cerita tentang diri artis tersebut yang percaya wilayah tersebut kepunyaannya.
Tsou-choi yang mengaku sebagai Raja Kowloon hidup dalam kemiskinan. Bagaimanapun, dia kemudiannya diangkat menjadi hero apabila kira-kira 55,000 kerja seni luarannya mendapat perhatian antarabangsa. Dalam tempoh lima dekad itu hampir semua tempat daripada peti surat sehingga jejambat terdapat lukisan grafitinya.
Tsou-choi meninggal dunia pada tahun 2007 iaitu ketika berusia 85 tahun. Enam tahun kemudian, hanya empat seni jalanan yang dibuatnya masih terpelihara, manakala yang lain terhapus seiring gelombang pembangunan semula atau kerja-kerja mengecat oleh pihak berkuasa.
Pertahan tinggalan sejarah
Komuniti seni Hong Kong ketika ini sedang berjuang bagi memulihara tinggalan sejarah yang masih ada di tempat-tempat awam itu.
"Kerja-kerja si Raja perlu berada di jalanan, tetapi kebanyakannya sudah terhapus atau dibersihkan. Justeru, bagi menyelamatkan hasil karya tersebut, kami perlu memeliharanya," kata jurugambar, Simon Go.
Simon merupakan kawan Tsou-choi dan menjalankan sebuah organisasi warisan Hong Kong, Hulu Culture.
Warisan sering menjadi mangsa pembangunan di Hong Kong dan kerajaan sering dikritik kerana tidak mengambil berat pemuliharaan sejarah budaya.
Pengkritik seni yang juga kawan kepada Raja Kowloon, Lau Kin Wai berkata, dia pernah cuba menyakinkan pihak berkuasa bagi menyelamatkan kerja-kerja Tsou-choi, tetapi gagal.
"Ia membuatkan saya marah, LCSD (Jabatan Perkhidmatan Budaya dan Senggang) tidak mempunyai deria budaya.
"Dia merupakan salah seorang artis grafiti moden terawal tetapi mereka mempersoalkannya," katanya kepada pemberita AFP.
Tsou-choi berhijrah ke Hong Kong semasa remaja dari wilayah China, Guangding dan memulakan kerjaya grafiti prolifik pada tahun 1950-an.
Dia percaya, leluhurnya pernah memerintah daerah Kowloon. Seni jalanan Tsou-choi mempromosi haknya sebagai pemerintah monarki di situ.
Karyanya menggambarkan salasilah keluarga dan penentangan terhadap kuasa kolonial secara terang-terangan yang dilakukan pada tiang-tiang dengan menggunakan tulisan karakter Cina.
Di Hong Kong, dia bekerja sebagai pengumpul sampah sehingga patah kedua-dua kaki pada usia sekitar 60-an. Kejadian itu tidak mematahkan semangatnya malah, sanggup menggunakan topang ketiak ketika mengecat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan