GAZA: Kerajaan Palestin di Semenanjung Gaza merayu bantuan dana segera AS$37.4 juta (RM112.2 juta) dari negara yang prihatin terutama Malaysia, bagi membantu rakyatnya yang kini menderita akibat serangan roket tentera Zionis bermula 14 November lalu.
Menteri Perhubungan Sosial dan Pekerjaan Palestin, Ahmed Alkurd yang ditemui wartawan Harian Metro di sini, semalam berkata, serangan tentera Yahudi itu mengakibatkan kemusnahan teruk ratusan kediaman penduduk di Semenanjung Gaza.
Menurutnya, hujan roket serta peluru berpandu kapal laut, pesawat F-16 dan dron dilepaskan tentera Israel seolah-olah mempunyai dua tujuan iaitu membunuh rakyat Gaza dan sekali gus memastikan mangsa merempat tanpa tempat tinggal.
“Berdasar perangkaan awal, kira-kira 800 penduduk Gaza kini hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah sama sekali akibat dibedil roket Israel. Mereka kini tidak ubah seperti pelarian.
“Selain itu kira-kira 8,000 rumah lagi mengalami kemusnahan sederhana namun memerlukan bantuan kewangan bagi membaik pulih kerosakan dialami,” katanya.
Ahmed berkata, kekurangan dana dan bantuan antarabangsa menyebabkan kerajaan Palestin gagal memberi bantuan segera kepada mangsa yang kini menghuni khemah sementara atau di celah runtuhan rumah mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan