Jumaat, 12 April 2013

Kepala budak 16 bulan membesar dengan luar biasa

NEW DELHI - Seorang budak perempuan berusia 16 bulan, Runa Begum menghidap penyakit kepala membesar sehingga kepada saiz yang tidak normal di Kampung Jirania Khola di negeri Tripura, India semalam.
Menurut ibunya, Fatima, otak Begum mengandungi banyak cecair sehingga mengakibatkan kepalanya membesar sejak dilahirkan.
Beliau berkata, doktor-doktor di kampungnya gagal untuk menyembuhkan anaknya itu.
Bapa Begum, Abdul Rehman yang bekerja di sebuah kilang bata berkata, masalah kewangan keluarganya menyebabkan mereka gagal untuk menemui doktor pakar.

Lagi pengganas Sulu didakwa


TAWAU – Tiga beranak merupakan antara 11 individu warga Filipina yang berdepan hukuman mati dan penjara seumur hidup selepas mereka didakwa di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Salib Akhmad Emali bersama dua anaknya, Binhar dan Anwar, dituduh mengikut Seksyen 121/130KA Kanun Keseksaan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong serta menjadi ahli kumpulan pengganas.
Salib turut didakwa di bawah Seksyen 130E Kanun Keseksaan kerana melindungi dan merekrut orang lain menjadi pengganas. Dia boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Pertuduhan yang diterjemah ke dalam bahasa Bajau dan Suluk itu dibaca di hadapan Hakim P. Ravinthran.
Selain tiga beranak itu, turut didakwa mengikut seksyen yang sama ialah Masir Aidin, Ismail Yasin, Tani Lahad Dahi, Wazir Osman @ Abdul, Abd. Hadi Mawan, Julham Rashid, Virgilio Nemar Patulad @ Mohammad Alam Patulada dan Aiman Darie.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.
Abd. Hadi merupakan satu-satunya tertuduh yang bercakap selepas pertuduhan dibacakan apabila berkata dalam bahasa Bajau: “Ini semua tidak betul.”
Kesemua tertuduh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang anggota polis berpangkat Koperal, Hassan Ali Basari mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai tindakan pengganas

Khamis, 11 April 2013

Polis Dubai guna kereta Lamborghini


DUBAI - Polis Dubai di Emiriah Arab Bersatu menggunakan sebuah kereta Lamborghini Aventador yang berharga hampir AS$550,000 (RM1.66 juta), lapor agensi berita AP semalam.
Kereta sport buatan Itali itu yang boleh mencecah kelajuan sehingga 349 kilometer sejam dicat dengan warna hijau dan putih.
Harga petrol di Dubai adalah lebih murah berbanding harga minuman.
Kelmarin, ibu pejabat polis Dubai menyiarkan gambar kereta tersebut di depan pusat beli-belah terbesar di dunia, Dubai Mall.
Pihak berkuasa di negara ini berdepan masalah kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian disebabkan kenderaan dipandu laju.
Menurut laporan media tempatan, seramai 33 orang mati akibat nahas jalan raya di Dubai dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Kereta sport itu juga digunakan polis Itali, Panama dan United Kingdom.

Lelaki curi makan untuk hidup ditangkap di AS


ROME, Maine - Seorang lelaki, Christopher Knight yang hidup dalam khemah selama beberapa dekad di dalam hutan dekat sini dan melakukan lebih 1,000 perbuatan mencuri untuk mendapatkan makanan akhirnya ditangkap di sebuah kem, kata pihak berkuasa di Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Knight, 47, ditangkap pada 4 April lalu semasa perbuatannya memecah masuk dan mencuri makanan di sebuah kem untuk golongan kurang upaya di sini dirakamkan menerusi sebuah kamera pemantauan.
Lelaki tersebut mengaku kepada polis bahawa dia bertanggungjawab melakukan lebih 1,000 perbuatan mencuri sejak bertahun-tahun lalu.
Bagaimanapun, Knight menyatakan, dia hanya mengambil barang-barang yang diperlukan bagi membolehkannya meneruskan kehidupan.
Seorang anggota polis di negeri Maine, Diane Perkins-Vance berkata, Knight memberitahu, dia tinggal di dalam hutan sejak tahun 1986.
Menurutnya, lelaki tersebut mengaku dia tidak pernah berkomunikasi dengan manusia sejak pertengahan tahun 1990-an.
Knight kini ditahan atas dakwaan mencuri di Penjara Kennebec, Maine dengan ikat jamin sebanyak AS$5,000 (RM15,174), lapor akhbar Portland Herald Press

AS tempatkan radar canggih


WASHINGTON - Sebuah radar berkuasa tinggi milik tentera Amerika Syarikat (AS) kini berada di laut untuk mengesan pelancaran peluru berpandu Korea Utara, menurut seorang pegawai kanan pertahanan AS.
Radar SBX itu mirip sebiji bola golf gergasi itu boleh mengesan peluru berpandu yang dilancarkan rejim Pyongyang.
Radar terapung itu terletak di atas platform yang sama seperti pelantar minyak.
Lokasi radar tersebut tidak didedahkan.
Ketinggian radar itu ialah 85 meter dan ia boleh mengesan peluru berpandu pada jarak 2,000 kilometer.
Tentera AS dan Korea Selatan kini dalam keadaan berjaga-jaga dan menjangkakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu miliknya sebelum 15 April ini iaitu sempena sambutan hari kelahiran bekas pengasas negara itu, Kim Il-sung.
Korea Utara yang merupakan sebuah negara komunis sebelum ini turut meminta semua warga asing di Korea Selatan meninggalkan negara itu kerana mendakwa perang nuklear akan berlaku.
Ketegangan di Semenanjung Korea semakin memuncak selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaksanakan sekatan pengimportan barang mewah dan perpindahan wang tunai untuk tujuan program nuklear ke atas Korea Utara pada Mac lalu.
Sekatan itu dibuat setelah Korea Utara yang dipimpin Kim Jong-un berusia dalam lingkungan 30-an telah melancarkan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu.
Beberapa pesawat kalis radar milik AS turut ditempatkan di Korea Selatan bagi menghadapi serangan dari Korea Utara.
Tentera Korea Selatan turut menempatkan pelancar peluru berpandu Patriot di beberapa kawasan di Seoul sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghadapi serangan dari Korea Utara